Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Wednesday, April 07, 2004

Antara Nikmat dan Musibah

In The Name of Allah The Most Gracious Most Merciful.

HARI demi hari berlalu pergi,bulan demi bulan silih berganti.Begitulah sunah kehidupan yang akan terus berlangsung. Waktu pula akan menghakis setiap usia makhluk yang menghuni alam ini. Apa sahaja dan sesiapa pun jua tidak ada yang kekal abadi. Yang kekal hanyalah Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung. Malah hubungan antara sesama manusia pun akan sampai kepada nokhtah terakhirnya. Apabila ajal datang menjemput roh manusia, maka tidak ada apa yang masih berbaki melainkan amal ketaatan , sedekah jariah dan doa anaknya yang soleh.

Kematian itu merupakan sesuatu yang benar dan pasti datang. Tidak ada makhluk pun yang mengetahui rahsia dan hakikatnya yang sebenar. Ia tidak dapat dipercepatkan mahupun ditangguhkan meskipun sedetik cuma. Ia tetap akan menghampiri setiap makhluk pada setiap masa dan di mana juga ia berada. Yang paling pentingnya kehidupan dan kernatian yang menghiasi pentas dunia ini sebenarnya satu ujian daripada Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amaInya. Dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang orang yang bertaubat). (Surah at Mulk : 2)

Mafhum ayat suci menjelaskan bahawa dunia ini ibarat satu perjuangan hidup yang sengit. Allah menciptakan alam ini sarat dengaii ujian demi ujian sebagai satu kelayakan untuk melahirkan insan yang paling baik amaInya, tinggi nilai kesabarannya, jitu darjat keimanannya dan yang terpuji akhlaknya . Pendek kata, neraca piawaian yang menjadi pertimbangan di sisi Allah ialah kualiti amal bukannya kuantiti amal.

Hikmah di Sebalik Musibah

Kehidupan dunia ini pada umumnya dihiasi pelbagai rentak dan ragam manusia. Ada wajah ceria yang penuh tawa ria dan ada pula wajah muram yang penuh tangisan dan duka nestapa. Kebahagiaan dan kesejahteraan adalah wajah dunia yang menjadi impian setiap insan manakala musibah dan kesengsaraan pula adalah wajah dunia yang amat digeruni oleh setiap makhluk yang bernyawa. Yang pastinya setiap makhluk tetap pasti akan melaluinya berdasarkan ketentuan Ilahi yang Maha Berkuasa. Kedua duanya merupakan ujian Allah (kebahagiaan dan musibah) yang dihamparkan di seluruh pelosok bumi untuk menguji, menapis dan memilih di kalangan manusia yang benar benar beriman, beramal dan bertakwa ke hadrat Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan sifat dan keadaan orang Mukmin, seluruh urusan kehidupannya mengandungi kebaikan dan hal tersebut tidak terdapat pada orang lain. Orang Mukmin jika diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kemudian dia bersyukur maka hal itu menjadi kebaikan baginya, sebaliknya jika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar maka hal yang demikian juga merupakan kebaikan baginya." (Hadis riwayat Ahmad)
Perlu diinsafi bahawa ujian Allah ke atas makhluk Nya ada bermacam macam jenis, ada yang berbentuk nikmat dan ada juga yang berbentuk musibah. Kenyataan ini ternyata menolak tanggapan dan pemahaman umat Islam yang menyempitkan skop ujian Allah kepada musibah dan bala. Sedangkan kurniaan nikmat, kesenangan, kesihatan, kemewahan harta dan lain lain lagi juga termasuk dalam senarai ujian Allah terhadap makhluk Nya. Kehidupan yang dilalui oleh setiap manusia di permukaan bumi Allah ini tidak terlepas daripada naik dan turun, pasang dan surut, senang dan susah, sukses dan gagal serta gembira dan sedih.

Sehubungan itu Allah berfirman maksudnya: "Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa peristiwa kemenangan atau kekalahan) Kami gilirkan ia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya)." (Surah Ali "Imran : 140)


Manakala musibah pula merupakan ujian Allah yang ditimpakan kepada setiap makhluk sesuai dengan kualiti iman dan keyakinannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari yang bermaksud: 'Saad bin Abi Waqqas bertanya: Siapakah orang yang paling berat sekali ujiannya ? jawab Rasulullah: Para nabi, kemudian orang-orang yang seumpama dengan mereka'

Rasulullah merupakan contoh terbaik dalam hal ini yang menghadapi pelbagai jenis ujian dan rintangan, malah ancaman sepanjang perjalanan hidupnya untuk menegakkan kalimah Allah di bumi Allah ini. Kemudian, para sahabat Rasulullah menampilkan peribadi cemerlang dalam mendepani sebarang dugaan dan cubaan hidup dalam merealisasikan ketuanan Islam di alam maya ini.

Seterusnya umat Islam dewasa ini sewajarnya bersabar menghadapi musibah yang ditimpakan Allah kepada mereka dan berusaha mencari sebab musababnya agar dapat ditemui jalan keluar dan penawarnya serta berusaha menghilangkan musibah tersebut. Yang paling penting sekali, umat Islam sewajibnya menginsafi dan menyedari serta mengambil iktibar supaya musibah tersebut tidak berulang kembali pada masa masa akan datang.

Di sarnping itu, Rasulullah tidak ketinggalan mengajar umatnya supaya mengamalkan doa yang ma'thur dibaca ketika menghadapi musibah yang besar mahupun yang besar. Doa tersebut lebih dikenali sebagai istirja yang bermaksud penyataan kembali kepada Allah iaitu, "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada Nyalah kami akan kembali. Ya Allah! Berikanlah kepadaku pahala dalam musibah yang menimpaku ini dan berikanlah kepadaku ganti yang lebih baik daripadanya. (Hadis riwayat Muslim)

Sabar dan Syukur

Inilah pandangan hidup Muslim sejati dan yang bertakwa kepada Allah. Seorang Muslim yang beriman menginsafi bahawa dia tidak terlepas daripada sunah kehidupan yang sedang berlangsung di bawah ketetapan dan kehendak Ilahi. Dia seterusnya memandang bahawa setiap ujian Allah merupakan timbangan amal dan akan memberikan kesempatan padanya untuk terus melipat gandakan koleksi amaIan solehnya ke hadrat Allah. Dalam setiap keadaan apa pun, apabila senang dia bersyukur dan apabila susah pula dia bersabar. Pendek kata, dia tidak berasa sedih hati ketika ditimpa sesuam yang kurang menyenangkan dan dia juga tidak terlalu gembira. ketika memperoleh kesenangan.

Dari sini lahirlah ketenangan hati kerana hati seorang Muslim sentiasa teringatkan Allah pada setiap masa dan keadaan.

Ketenangan jiwa,kesejahteraan hidup dan kebahagiaan ukhrawi merupakan matlamat sebenar yang ditujui oleh setiap Muslim yang beriman. Oleh sebab itu, setiap ujian Allah sama ada berupa nikmat mahupun musibah, kesemuanya merupakan asam garam dan rencah kehidupan dunia semata-mata. Ia akan memantapkan lagi keimanannya kepada Allah, menyuburkan lagi ketakwaan dan memudahkan jalannya menuju keredaan Ilahi. Akhirnya, ganjaran syurga penuh kenikmatan menanti kedatangan orang-orang yang bersabar dan bersyukur dengan penuh ikhlas ke hadrat Allah.

Penulis,
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home