Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Tuesday, March 09, 2004

Baitul Muslim

In The Name of Allah The Most Gracious The Most Merciful

BAITUL MUSLIM
Ciri-ciri Dalaman Baitul Muslim


ASPEK dalaman merupakan teras utama Baitul Muslim kerana segala kebaikan dan keburukan Akhlak Muslim itu mudah terdorong melalui rupa bentuk dan susun atur fizikalnya. Pertama sekali yang perlu dilihat ialah bilik tidur sesebuah rumah. Sekurang-kurangnya Baitul Muslim mengandungi tiga bilik tidur yang berasingan. Satu bilik untuk ibu bapa dan dua lagi buat anak-anak lelaki dan perempuan. Etika ini telah disusun oleh Nabi s.a w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila usia mereka 7 tahun. Apabila usianya 10 tahun pukullah mereka seandainya mereka ingkar dan pisahkanlah tempat tidur mereka (di antara anak lelaki clan perempuan) " (Riwayat Abu Daud)

Senario kegawatan akhlak seperti kejadian rogol, sumbang mahram atau kes-kes bersekedudukan di antara ayah dengan anak-anak atau yang melibatkan adik beradik berpunca daripada pembinaan rumah yang tidak menepati piawaian yang telah di atur oleh Islam. Islam sangat menitikberatkan pencegahan pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu Islam datang bertujuan untuk memelihara maruah manusia dan menutup apa jua ruang yang boleh membawa kepada kemaksiatan atau kebinasaan. Kes-kes jenayah ini boleh dikurangkan seandainya aspek pembinaan struktur rumah Baitul Muslim seperti yang dijelaskan di ambil kira.

Mesra Tetamu

Baitul Muslim sangat dituntut menyediakan ruang untuk tetamu seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Hari ini ruang tamu sudah menjadi sebahagian daripada struktur asas pembinaan sebuah rumah sesuai dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya, agar mengalu-alukan kehadiran tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan Allah maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Layanan diberi untuk satu hari dan satu malam; layanan baik diberikan selama tiga hari; lebih daripada itu adalah sedekah; dan adalah tidak dibenarkan bagi tetamu untuk terus tinggal sehingga dia menjadikan dirinya sebagai beban" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adab-adab menyambut tetamu dan melayani mereka hendaklah berlegar di sekitar ruang tamu. Oleh itu ruang tamu tersebut mestilah bersifat mesra tetamu atau memenuhi kehendak dan keperluan tetamu yang datang serta tidak terdedah kepada perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Sebaik-baiknya ada bilik khas untuk tetamu yang ingin bermalam atau ruang khas bagi tujuan mempermudah aktiviti-aktiviti keluarga dan kebajikan dan juga usaha-usaha untuk mengangkat syiar Islam.

Mesra Ibadah

Selain daripada mesra tetamu, spesiftkasi Baitul Muslim juga hendaklah mesra ibadah. Oleh itu Baitul Muslim dituntut menyediakan ruang solat dan kelengkapannya buat keluarga terutama bagi kaum wanita. Ini kerana solat di rumah bagi kaum wanita lebih afdal berbanding solat mereka di Masjid. Daripada Ummu Hamidah al?Safdiah, suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya saya lebih suka dapat mengerjakan solat berjemaah bersama engkau. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku tahu tetapi solat engkau di rumah lebih baik daripada solat berjemaah di masjid. " (Riwayat Ahmad dan Tobarani)

Hadis di atas dikuatkan pula dengan firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Di rumah-rumah yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut nama-nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadah dan memujiNya pada waktu pagi dan petang" (Surah al-Nur ayat 36)

Abu al-A'la al-Maududi ketika mentafsirkan ayat di atas menjelaskan bahawa setiap Mukminin wajar memakmurkan rumah mereka dengan aktiviti-aktiviti keagamaan kerana dalam Islam setiap rumah adalah tempat ibadah seolah-olah seperti masjid dan setiap mereka adalah a'bid yang bertanggungjawab untuk menghidupkannya.

Menyediakan Perpustakaan Kecil

Rumah yang baik tidak hanya dinilai semata-mata pada seni bina atau keindahan fizikal sahaja, sedangkan di dalamnya kosong tanpa sebarang pengisian yang boleh memberikan faedah buat penghuninya ataupun tetamu yang datang.

Justeru, Baitul Muslim mestilah menyediakan ruang untuk menempatkan bahan-bahan bacaan ala perpustakaan kecil bagi menambah ilmu pengetahuan mereka. Perpustakaan mini tersebut boleh dimuatkan dengan buku-buku seperti al-Quran atau kitab-kitab rujukan seperti tafsir, sirah Nabi, hadis, fiqh Islam, surat khabar, majalah-majalah dan buku-buku yang bermanfaat.Firman Allah yang bermaksud, " Dan ingatlah serta amalkanapa yang dibaca dirumah kamu dari ayat-ayat Allah (al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis Rasulullah s.a.w.) Sesungguhnya Allah maha halus tadbirnya lagi Maha Mengetahui. " (Surah al-Ahzab ayat 34)

Secara praktikalnya, bagi rumah yang kecil tidak perlulah disediakan perpustakaan khusus yang pastinya memerlukan ruang yang luas. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya ada rak-rak bacaan yang boleh diletakkan sama ada di ruang tamu atau di bilik tidur atau ruangan yang bersesuaian. Rumah yang kosong daripada sebarang bentuk pengisian mudah dimasuki syaitan dan jauh daripada keberkatan Allah Taala. Apatah lagi apabila diisi dengan unsur-unsur hiburan dan alat-alat yang melalaikan daripada mengingati Tuhan.

Simbol Kesederhanaan

Aspek kesederhanaan juga merupakan ciri-ciri Baitul Muslim. Sama ada yang bersangkut paut mengenai urusan pengurusan, pentadbiran mahupun yang melibatkan pengabdian dan ingatan kepada Allah Taala. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Bersikaplah dengan sederhana. Amalkan agama bersesuaian dengan kekuatan fizikal kamu. Bersolat pada waktu pagi dan malam dan pada sebahagian malam. Ikuti jalan pertengahan dan kamu akan mencapai matlamat kamu. " (Riwayat Bukhari)

Sebarang bentuk harta atau perhiasan dalaman yang melampau-lampau seperti sutera atau pun daripada emas dan perak sangat di larang dalam Islam kerana ia lambang kepada pembaziran dan kemungkaran. Allah SWT mengingatkan kita dalarn al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu clan anak-anakmu dari mengingati Allah. Barang siapa yang melakukannya maka itulah orang yang rugi. " (Surah al-Munafiqun ayat 9)

Bersifat Rumah Terbuka

Baitul Muslim mestilah bersifat rumah terbuka serta mudah menerima kedatangan tetamu. Nabi s.a.w. pernah bersabda melalui doa yang diminta. yang bermaksud: "Ya Allah ya Tuhanku, luaskanlah rumahku dan berkatilah rezeki kami" (Riwayat Bukhari)

Budaya rumah terbuka berdasarkan hari-hari perayaan tertentu atau bulan-bulan tertentu perlu dielakkan. Hal ini kerana Baitul Muslim bersifat rumah terbuka sepanjang tahun. Rasulullah s.a.w. adalah contoh terpuji yang sentiasa menggalakkan tetamunya datang ke rumah Baginda. Ini kerana tetamu datang membawa keberkatan dan pahala dan apabila pulang mereka menggugurkan dosa-dosa penghuninya keluar rumah.

Sumber Pendapatan Halal

Baitul Muslim mestilah bersifat warak. Warak di sini bermaksud bimbangkan harta-harta yang dikumpulkan atau anak-anak termakan makanan dari sumber yang haram. Di sini Isteri wajar memainkan peranan yang penting menasihati suaminya berhati-hati selalu agar setiap kerja suaminya tidak berpunca daripada hasil yang haram.

Para isteri sahabat-sahabat Nabi selalu berpesan sebelum suami mereka keluar untuk bekerja: "Wahai suamiku bertakwalah kepada Allah dan takutkanlah seksaan api neraka. Sesungguhnya kami tidak izinkan perut kami dan perut anak-anak kami di isi dengan makanan yang haram walaupun sedikit dan kami rela tidak makan walaupun terpaksa berlapar! "

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home