Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Friday, February 06, 2004

MEMBINA GENERASI AL-QURAN

NABI Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda pada awal sejarah perkembangan Islam disebut oleh Sayid Quthub sebagai "Generasi al-Quran". Mereka merupakan generasi terbaik yang pernah hadir di tengah umat manusia. Generasi inilah, menurut Quthub, yang disebut oleh firman Allah SWT, "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan, mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. " (Ali Imran ayat 110).

Generasi terbaik Islam seperti di atas, menurut Quthub, belum pernah lahir kembali, sehinggalah pada zaman kita sekarang. Padahal, menurut beliau lagi, al-Quran masih berada di tangan kita, tetap terpelihara seperti zaman sebelumnya. Begitu pula dengan hadis, juga terpelihara dengan baik. Tapi, mengapa kini kedua sumber utama itu tidak dapat melahirkan generasi terbaiknya seperti dahulu?

Dalam kitab 'Ma'alim fi al-Thariq, Sayid Quthub memberikan jawapan. Generasi al-Quran, katanya, dapat dilahirkan kembali apabila kaum Muslimin memiliki tiga tingkah laku seperti yang dahulu dimiliki oleh Nabi dan kaum Muslimin pada awal perkembangan Islam.

Pertama, umat Islam perlu mencintai Al-Quran dan menjadikannya sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam kehidupan. Ini bermakna, al-Quran harus tertanam dalam hati dan fikiran, serta menjadi roh dalam setiap nafas kehidupan, sehingga al-Quran tidak menjadi benda mati, tapi benar?benar wujud dalam realiti kehidupan.

Kedua, umat Islam perlu memiliki sikap ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap perintah-perintah Allah dalam al-Quran. Dalam hal ini, al-Quran dipelajari tidak hanya untuk menambah pengetahuan dan memperdengarkan bacaan semata-mata, tetapi benar-benar untuk dilaksanakan. Al-Quran, jelas Quthub, perlu menyatu dalam jiwa raga kaum. Muslim dan diguna pakai dalam kehidupan mereka, sehingga al-Quran tidak hanya membeku dalam otak dan terselip dalam karya-karya ilmiah. Sejarah mencatatkan, para sahabat dahulu mempelajari al-Quran tidak banyak, hanya sepuluh ayat dalam. satu masa. Mereka tidak menambahnya sehinggalah mereka memahami dan melaksanakan sepuluh ayat tersebut.

Ketiga, umat Islam perlu bersedia membuang kehidupan lalu mereka sebelum Islam (jahiliah). Ini bermakna, dengan Islam seseorang perlu memulai hidup baru, dengan ajaran atau nilai yang baru, dan dengan pergaulan serta persaudaraan yang baru. Pendek kata, mereka perlu bersedia menanggalkan dan membuang semua ajaran dan warisan nenek moyang yang sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan setiap Muslim, tegas Quthub, harus mampu bukan sahaja meninggalkan jahiliah moden tetapi juga menjauhi orang-orang yang pemikirannya terpengaruh dengan jahiliah moden itu.

Sesungguhnya generasi al-Quran itu tidak akan lahir tanpa kita memiliki rasa cinta yang dalam terhadap al-Quran. Generasi al-Quran hanya akan muncul di tengah masyarakat yang sememangnya sudah bersedia untuk menjaclikan al-Quran sebagai imam dan akhlak mereka. Usaha untuk melahirkan generasi al-Quran ini, tentu sahaja perlu dimulai daripada diri dan keluarga kita sendiri, sebelum. mengharapkan ia wujud di tengah masyarakat dan negara kita!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home