Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami : Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Al-Furqan:74) akhifaizul Blogging Portal


Monday, February 12, 2007

Artikel atau Fakta Sejarah

Suatu ketika dahulu, diriku antara orang yang gemar akan subjek sejarah, yang mana orang lai mungkin ramai tidak suka subjek ini. Mugkin dek kerana nak tahu asbab sesuatu perkara itu yang membuatkan diriku seronok bila membaca fakta sejarah. Sewaktu alam persekolahan nama Sultan Mahmud mangkat dijulang memang biasa didengar. Walaubagaimanapun sejarah Sultan Mahmud semakin pudar dari ingatanku. Alhamdulillah, Berita Harian had provide some refreshment on this matters. Cuma nak share artikel semalam yang terdapat dalam akhbar Berita Minggu. Enjoy the reading.
-----------------------------
Kezaliman Sultan Mahmud

SULTAN Mahmud Shah II ditabalkan menjadi sultan ketika berusia 10 tahun. Oleh kerana masih kecil, segala urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan ketika itu berada di Kota Tinggi manakala Johor Lama dijadikan istana hinggap, di sinilah tempat di mana Temenggong menjalankan tugas menjaga keamanan di Johor Lama.

Sultan Mahmud dikaitkan dengan kezaliman serta seorang yang sering menimbulkan pergolakan di dalam negeri.

Baginda adalah keturunan daripada raja Melaka yang melarikan diri setelah negeri itu jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Ketika kanak-kanak, baginda dipangku di atas takhta oleh ibu tirinya di mana ketika itu kerajaan ditadbir oleh Paduka Raja Tun Abdul Jamil dan keluarganya.

Apabila dewasa, baginda mengambil alih tampuk pemerintahan yang terletak di Johor Lama. Di sana baginda memerintah dengan penuh kezaliman.

Alexander Hamilton, seorang pelayar Inggeris yang sempat berkunjung ke Johor Lama pada 1695, menulis mengenai keganjilan perilaku sultan berkenaan.

Baginda seorang yang bengis dan ganjil. Ini juga disahkan oleh utusan Belanda ke Johor pada 1699 yang melaporkan sultan itu terlalu muda dan sukar dikawal.

Sultan ini menghabiskan masa dengan hanya berseronok dan membunuh orang sesuka hati. Kemuncak kezalimannya ialah dengan membunuh isteri orang besar istana iaitu Megat Seri Rama atau lebih dikenali sebagai Laksamana Bentan.

Menurut cerita, isteri Laksamana Bentan yang sedang sarat mengandung itu mengidam buah nangka di dalam taman diraja dan mengambil sedikit untuk dijamah.

Apabila baginda tahu kejadian itu, baginda dengan zalim membelah perut mangsa bagi melihat anak dalam kandungan yang mengidam buah nangka raja.

Laksamana Bentan yang pulang dari medan peperangan di Linggi atas perintah sultan itu dikhabarkan orang kampung mengenai kematian isteri kesayangannya. Pada masa sama, Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil bersama pembesar istana lain, bersepakat untuk menghapuskan baginda.

Menurut adat Melayu, seseorang raja boleh diturunkan daripada takhta apabila terbukti baginda gila atau murtad. Mereka bersepakat dalam musyawarah yang diadakan secara tertutup untuk membunuh sultan.

Bagaimanapun, terdapat seorang pembesar yang bernama Orang kaya Seri Bija Wangsa dari suku orang laut menentang komplot itu kerana tidak mahu menderhaka kepada sultan.

Bagi menjayakan rancangan dan menutup rahsia misi penting itu, Seri Bija Wangsa dibunuh dengan Keris Penyalang.

Orang Laut sangat marah dan berdendam atas kematian pembesar mereka itu manakala Laksamana Bentan pula mengambil keputusan untuk menderhaka pada raja dan ketika tepat waktunya sultan dijulang jejuaknya ke masjid (peliknya baginda masih menunaikan haknya sebagai muslim), lalu laksamana itu membunuh sultan. Tragedi itu dikenali sebagai 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang'.

Makam baginda dikenali sebagai ‘Makan Sultan Mangkat Dijulang’ kerana baginda dibunuh ketika sedang dijulang di atas jejuaknya.

Kejadian itu berlaku pada 1699. Sultan Mahmud mangkat ketika berusia 24 tahun.

Dalam Tahfatu'l Nafis karangan Raja Ali Haji Riau, terdapat slot kisah yang menggambarkan kejadian Sultan Mahmud Raja Johor yang mati dibunuh dalam peristiwa Sultan Mangkat Dijulang.

Melalui catatan Tahfatu’l Nafis, baginda yang sedang diusung di atas julang dalam perjalanannya untuk menunaikan solat Jumaat, dibunuh oleh Laksamana Bentan, yang membalas dendam atas kematian isterinya yang dibunuh ketika sedang sarat mengandung akibat perintah sultan.

Secara halus Raja Ali Haji juga menyifatkan keganjilan peribadi sultan ini kerana baginda beristerikan peri (sejenis jin) yang begitu cemburu sehinggakan sultan itu tidak dapat bersama dengan isterinya yang lain. Akhirnya baginda dikatakan mewarisi perilaku songsang seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth.

Nafsu serakahnya lebih cenderung kepada lelaki tampan berbanding wanita cantik.

Alexander dalam bukunya, 'A New Account of The East Indies'- Edinburgh 1727 ada melakarkan pelbagai kisah mengenai Sultan Mahmud ini, antaranya:

"Baginda seorang pengamal seksual di mana ramai anak lelaki bangsawan dan ‘orang kaya’ dipaksa untuk melakukan perkara terkutuk itu. Moorish Merchant adalah seorang pengangkut barang di kapal milik saya yang mempunyai seorang anak lelaki yang tampan. Suatu hari sultan melihatnya dan ingin menjadikannya sebagai teman untuk melakukan hubungan di luar tabii itu. Jika tidak, baginda akan memaksa secara kasar. Moorish Merchant terus menyembunyikan anak lelakinya itu di dalam kapal dan saya berjanji untuk memberikan perlindungan kepada mereka...”( Winstedt 1932).

Dicatatkan juga ramai lelaki tampan di negeri itu menjadi mangsa nafsu Sultan Mahmud ini.

Sumber : Berita Minggu, 11 Februari 2007 oleh Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman
-------------------------------------------------------------
"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"(Al Maaidah : 118)

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home